0
Bernikah Pada Usia 13 Tahun
Posted by Unknown
on
4:23 PTG
KULIM: “Saya akan bertanggungjawab malah
sudah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik,” kata Mohd Fahmi
Alias, 19, yang berkahwin dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid Kampung
Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu.
Mohd Fahmi berkata, dia dan isterinya
akan berdikari selain menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga
untuk melalui kehidupan sebagai suami isteri.
Menurutnya, atas persetujuan kedua-dua
ibu bapa mereka dan untuk mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik
mereka berdua berkahwin walaupun pasangannya itu masih muda remaja.
“Saya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan keluarga saya sendiri.
“Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk
mengahwinkan kami, malah Nor Fazira sendiri sanggup mengalas
tanggungjawab dan sudah bersedia menjadi seorang isteri.
“Daripada bergelumang maksiat dan
melakukan perkara yang dilarang, jalan terbaik ialah kami berkahwin,
walaupun pada pandangan masyarakat ia agak janggal pada zaman sekarang
ini kerana berkahwin pada usia terlalu muda.
“Malah saya tidak menghalang sekiranya
isteri ingin melanjutkan pelajaran, semua bergantung kepada kepada
kemahuannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di
sini, semalam.
Katanya, mereka akan mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah keluarganya.
Mohd Fahmi yang juga anak sulung
daripada empat beradik berkata, dia sudah bersedia bergelar suami dan
tidak kisah pandangan rakan-rakan seusia.
Isterinya, Nor Fazira tidak mengganggap
usia mudanya menjadi penghalang untuk menjadi isteri isteri dan sudah
bersedia menjalankan tanggungjawabnya itu.
“Yang penting kami mendapat restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada keluarga mentua.
“Saya tidak kisah apa orang lain kata,
penting perbuatan kami tidak salah, malah adalah lebih baik daripada
kami terbabit gejala sosial,” katanya yang tidak bersekolah sejak
menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun
lalu.
Sementara itu, bapa Nor Fazira, Saad
Mustaffa, 43, berkata, tindakannya mengahwinkan anak di usia muda kerana
mahu menjaga nama semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.
Katanya, dia membenarkan anak gadisnya
itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal
di rumah teman lelakinya. “Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk
mengahwinkan mereka dalam usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga
mengahwinkan anak saya walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.
“Hanya Allah tahu perasaan saya…
walaupun pahit demi untuk menjaga nama baik keluarga saya dan keluarga
besan lebih baik saya mengahwinkan anak dengan lelaki pilihannya.
“Anak saya bernikah pada 17 November
lalu selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur
daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November lalu,” katanya.
Dia berkata, majlis pernikahan mereka
berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November
lalu dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500.
“Saya berharap menantu serta keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah
Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16
tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu
mendapatkan perintah mahkamah untuk kebenaran bernikah di bawah umur
dari Mahkamah Rendah Syariah Kulim.
“Ia mengikut seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya.
Catat Ulasan